Seorang ibu sangat berhati mulia. Dia mengorbankan kebanyakan masa untuk anak-anak. Paling tidak pun mendoakan supaya anak-anak sentiasa tetap berada di dalam bimbinganmu dan perlindungan Allah di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sebagai anak wajib untuk berbakti kepada orang tua. Berbakti didefinasikan sebagai berbuat baik. Ianya sangat subjektif dan berbeza pada setiap individu. Jika ibu suka makan masak lemak tempoyak, seorang anak perlu menyediakannya dengan hati yang ikhlas. Jika ibu suka berjalan-jalan, seorang anak perlu menyediakan masa dan wang untuk membawanya berjalan-jalan. Kesimpulannya, seorang anak perlu membuatkan hati ibu gembira kerana pada kegembiraan dan ketenangannya ada keredhaannya. Cuba kita fikir, sewaktu anak kecilnya tidak sihat, ibu sanggup bersusah payah cuti kecemasan atau cuti menjaga anak walaupun di kala itu ibu mempunyai tugasan penting. Tetapi, semasa seorang anak itu sudah membesar dan sudah bekerja, berkira-kira untuk cuti kecemasan atau cuti rehat untuk menjaga ibunya yang tidak sihat.
Allah juga menegaskan di dalam Al-Quran,
"Marilah kubacakan apa yang Allah haramkan ke atas kamu iaitu janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu apa pun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu dan bapamu."(Surah al-An'am, ayat 151)
"Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainnya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu dan bapamu dengan sebaik-baiknya."(Surah al-Israk, ayat 23)
"Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu dan bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya juga dengan susah payah. Kemudian, ibu menyusuinya hingga dia berusia 30 bulan."(Surah al-Ahqaf, ayat 15)
Membalas kebaikan ibu bapa dengan balasan yang baik disebut sebagai birrul walidaini. Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh seorang anak adalah:
1. Memandang ibu dengan penuh kasih sayang. Ianya juga termasuk sebagai ibadah.
Sabda Rasulullah,
"Apabila seorang anak memandang wajah orang tuanya dengan penuh kasih sayang, Allah memberikan ganjaran kepadanya sama seperti ganjaran orang yang beribadah haji mabrur."
2. Berkata dan bersikap lembut kepada ibu
Allah berfirman,
"Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan rendahkan dirimu di hadapan kedua ibu bapamu dengan penuh rasa sayang."(Surah al-Israk, ayat 23-24)
3. Menjaga keredhaan ibu
Sabda Rasulullah,
"Keredhaan Allah itu bergantung pada keredhaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan kedua orang tua."
4. Memohon izin apabila masuk ke bilik ibu
Allah berfirman,
"Apabila anak-anakmu sampai umur baligh, mereka perlu meminta izin seperti orang-orang yang meminta izin sebelum mereka. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya. Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana." (Surah an-Nur, ayat 59)
5. Berdiri apabila menyambut kedatangan ibu
Allah berfirman,
"Dia menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana dan mereka semua merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf."(Surah Yusuf, ayat 100)
6. Memberi bahagian yang lebih besar kepada ibu berbanding bapa
Allah berfirman,
"Mereka bertanya kepadamu berkenaan apa yang mereka nafkahkan. Jawablah, 'Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan, hendaklah kamu berikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang sedang berada dalam perjalanan.'Apa sahaja kebajikan yang kamu lakukan, sesungguhnya Allah maha mengetahuinya."(Surah al-Baqarah, ayat 215)
7. Berdoa untuk ibu semoga Allah mengasihinya
Allah berfirman,
"Ucapkanlah wahai anak, 'Ya Tuhanku, kasihilah kedua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil."(Surah al-Israk, ayat 24)
Rujukan dari buku 'Dahsyatnya Doa Ibu' yang ditulis oleh Syamsuddin Noor, diterbitkan oleh PTS Milenia , 2011
No comments:
Post a Comment